Subscribe:

Ads 468x60px

PETUA

Tuesday, August 2, 2011

Rawatan LVR Bantu Mengembalikan ‘Dara’

Proses melahirkan anak serta penuaan semula jadi sememangnya akan memberi kesan kepada otot dan ligamen sekitar vagina atau faraj wanita.

Pengalaman yang begitu istimewa itu walaupun sentiasa dinanti-nantikan oleh pasangan suami isteri tetapi ia sedikit sebanyak memberi kesan kurang baik kepada mereka yang sentiasa mementingkan hubungan intim.

Vagina yang semakin lemah dan longgar dengan kekenduran otot serta ligamen di sekeliling lantai pelvik sememangnya boleh memberi kesan kepada kepuasan ketika menjalin hubungan seksual.

Keadaan ini dipanggil vagina relaxation dan menyebabkan wanita tidak lagi mendapat kepuasan seks seperti dulu.

Antara simptom lain yang turut dialami akibat masalah ini ialah stress urinary incontinence (SUI) iaitu keadaan di mana seseorang itu tidak dapat mengawal pengeluaran air kencing, hilang fungsi kawalan dan penurunan keinginan seksual.

Lazimnya, wanita pada usia muda memiliki struktur tubuh yang ketat dan kemas.

Namun, perubahan akan berlaku selepas melahirkan anak kerana otot dan ligamen sekitar vagina atau faraj akan mengendur.

Bagaimanapun, ia mungkin boleh kembali kepada keadaan normal tetapi memerlukan jangka masa yang lama.

Situasi ini yang menghantui segelintir wanita kerana takut tidak mendapatkan kepuasan seks terutamanya ketika usia semakin meningkat dan bakal menempuh alam menopaus.

Selain itu, ia juga menyebabkan hilangnya kawalan pundi kencing terhadap air kencing setiap kali bersin atau ketawa.

Mungkin disebabkan itu, ramai wanita yang ingin berusaha mengembalikan ‘dara’ dengan pelbagai kaedah rawatan tradisional atau moden.

Rawatan Laser Vaginal Rejuvenation (LVR) misalnya dikatakan mampu memulih keadaan otot serta kekuatan faraj wanita yang telah bersalin.

Rawatan yang diasaskan oleh Pengasas Institut LVR, Dr. David Matlock dari Beverly Hills, Los Angeles, Amerika Syarikat merupakan rawatan moden menggunakan mesin yang canggih dengan kaedah laser.

Di Malaysia, Pakar Sakit Puan dan Kecantikan, Pusat Perubatan Roopi, Datuk Dr. Melagar Singh Roopi berkata, teknologi LVR boleh membantu wanita yang mengalami masalah kekenduran otot vagina terutama selepas bersalin atau akibat peningkatan usia.

“Rawatan ini boleh meningkatkan tahap kesihatan seksual di kalangan wanita. Ia dapat mengatasi dilema wanita dalam mendapatkan kepuasan seks,” katanya.

Dr. Melagar memberitahu, pembedahan ini menggunakan laser dan tidak melibatkan penggunaan jarum hingga mengakibatkan pendarahan. Ia mengambil masa satu hingga dua jam.

Katanya, umumnya, pesakit yang bekerja boleh kembali ke pejabat selepas dua hingga lima hari rawatan bergantung kepada keadaan pesakit.

“Secara tidak langsung rawatan ini mampu mengurangkan diameter luar dalam vagina, sekali gus meningkatkan dan menguatkan rangsangan vagina.

Bagi mereka yang ingin mengetahui rawatan LVR boleh berkunjung ke Pusat Perubatan Roopi di 86, Jalan Haji Eusoff, Kompleks Damai, Kuala Lumpur atau menghubungi 03-4042 3766.

Kelebihan LVR

* Prosedur pembedahan ke atas pesakit luar yang hanya mengambil masa lebih kurang satu jam.

* Sebagai pelopor dalam teknik yang unggul ini, sesuatu yang paling mengujakan ialah ia mampu pulih dalam tempoh yang cepat dan wanita yang menjalani rawatan boleh kembali melakukan rutin harian selepas melakukan prosedur tersebut.


Fakta LVR

* Masa sembuh yang singkat dan selamat.

* Pembedahan laser.

* Rawatan untuk wanita melepasi usia melahirkan anak.

Buang Tiub Fallopio Tak Ganggu Haid

SOALAN:
Saya berusia 35 tahun dan ada dua anak. Sebelum ini saya pernah hamil luar rahim dan sudah pun dibuang sebelah kanan.

Selepas setahun pembedahan itu, saya hamil, tetapi keguguran. Masalahnya, selepas saya keguguran, haid tidak teratur dan dalam sebulan, dua kali saya didatangi haid hingga ke hari ini. Adakah masalah itu menyebabkan saya tidak boleh hamil?

Emma
Petaling Jaya, Selangor


JAWAPAN:
Saya andaikan anda dulu mengalami kandungan luar rahim di dalam tiub fallopio kanan (kandungan luar rahim boleh berada di mana saja termasuk di dalam tiub fallopio, tempat yang paling kerap). Anda dinasihatkan mendapatkan maklumat lanjut daripada doktor yang melakukan pembedahan terbabit mengenai keadaan organ pelvis anda yang dapat dilihat sewaktu pembedahan itu, sama ada anda mempunyai penyakit endometriosis, PID dan seumpamanya.

Bagaimanapun, sekiranya benar anda hamil selepas itu (walaupun keguguran), ini membuktikan tiub fallopio kiri anda masih tidak tersumbat dan berfungsi. Walaupun dengan satu tiub saja, anda masih berpeluang untuk hamil sekiranya tiub itu berfungsi elok. Namun, dijangka peluang hamil tidaklah setinggi sebelumnya kerana pada setiap bulan, lazimnya hanya sebelah saja ovari (sama ada ovari kanan ataupun ovari kiri) yang mengalami ovulasi. Sekiranya ovulasi dalam bulan itu berlaku dari ovari kanan, maka peluang anda untuk hamil tipis memandangkan kini tiub fallopio kanan sudah tiada lagi.

Haid yang tidak teratur mungkin berpunca daripada faktor lain, bukannya disebabkan oleh pembedahan terbabit. Ramai yang menyangka sekiranya tiub fallopio dibuang (satu atau kedua-duanya) maka haid juga boleh terganggu, ini tidak benar.

Eloklah anda mendapatkan rawatan doktor. Pada usia anda kini, kesuburan wanita juga dijangka semakin menurun.

Atasi Masalah Mandul

Kesukaran untuk hamil bukan semestinya disebabkan oleh faktor kaum wanita sahaja tetapi juga kaum lelaki. Hampir 30-40 peratus infertiliti disebabkan oleh faktor lelaki. Walaupun lelaki dapat terus menjadi "produktif" pada usia yang lebih lanjut tidak bermakna mereka lebih subur. Ramai lelaki mengalami masalah disfungsi seksual seperti ejakulasi pra-matang, kegagalan ereksi dan sebagainya.

Terdapat juga kaum lelaki yang mempunyai kualiti atau kuantiti sperma yang rendah akibat faktor genetik, merokok, meminum minuman keras dan mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat. Jangkitan pada kelenjar testis dan saluran yang membawa sperma boleh menyebabkan infertiliti. Seperti juga wanita, kaum lelaki juga boleh mengalami infertiliti jika menerima ubat-ubat kemoterapi ataupun radioterapi.

Hampir 25 peratus kes kegagalan menimang cahaya mata adalah disebabkan oleh faktor-faktor yang tidak dapat dikesan oleh kaedah moden. Ini mungkin disebabkan kita belum mempunyai cukup teknologi untuk mengesan punca-puncanya. Dijangkakan peratusan itu akan menurun dari masa ke semasa apabila teknik pengesanan dan teknologi perubatan kita bertambah baik.

Hampir 80 peratus infertiliti boleh dirawat jika pasangan i berjumpa doktor yang bertauliah dan mendapatkan rawatan lengkap. Peluang untuk sembuh akan menjadi lebih sukar jika tempoh infertiliti dibiarkan bertahun-tahun ataupun jika usia pasangan wanita melebihi 35 tahun.

Bagi wanita yang berusia 35 tahun ke atas, mereka digalakkan mendapatkan rawatan setelah enam bulan berkahwin. Samada setahun atau enam bulan perkahwinan, apa yang penting mereka sudah mencuba dengan melakukan hubungan seks sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Ini disebabkan kaum wanita diketahui hanya subur sekali pada setiap bulan dan jika hubungan seks tidak dilakukan secara kerap , maka kemungkinan untuk hamil juga akan menjadi lebih rendah. Ramai di kalangan pasangan gagal menangani masalah infertiliti hanya kerana jarang melakukan hubungan seks samada akibat dari tinggal berjauhan, kesibukan ataupun kurang kefahaman mengenai proses reproduksi.

Apabila membuat keputusan untuk bertemu dengan doktor , sila pastikan doktor tersebut adalah doktor sakit puan ataupun doktor ginekologi. Pasangan perlu berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan dan ujian-ujian lanjut.

Di antara kaedah-kaedah bantuan reproduktif yang terdapat di Malaysia adalah Pemanian beradas ( Intrauterine insemination), Invitro-Fertilization (IVF) dan ICSI ( Intracytoplasmic Sperm Injection). Tidak semua pasangan sesuai menjalani kaedah rawatan bantuan reproduktif. Mereka perlu menjalani ujian serta pemeriksaan rapi oleh pakar perubatan reproduktif sebelum dibenarkan menjalani rawatan yang sangat kompleks.

Pasangan juga mesti mengamalkan gaya hidup yang sihat termasuk menjaga kebersihan diri. Langkah-langkah pencegahan jangkitan penyakit dan menjauhkan diri daripada terdedah kepada toksin-toksin sama ada di dalam makanan, minuman dan juga alam sekitar akan dapat memperbaiki kesuburan. Mengamalkan senaman secara tetap dan menjauhkan diri daripada merokok dan meminum minuman keras juga merupakan amalan yang sangat dituntut bagi meningkatkan kesuburan diri.

Bahaya Seks Di Usia Muda

Sedarkah anda dalam tempoh sesingkat empat minit nyawa seseorang wanita di rantau Asia Pasifik melayang? Semuanya bahana kanser pangkal rahim yang meragut sejumlah 500,00 nyawa di seluruh dunia setiap tahun. Dalam konteks Asia , sekurang-kurangnya 266,000 disahkan menghidap kanser ini setiap tahun dengan 143, 000 kematian. Di negara-negara membangun, hanya 41 peratus daripada wanita berpeluang mendapatkan rawatan seandainya mereka ingin terus hidup. Realitinya pakar-pakar perubatan juga tidak seratus-peratusnya pasti terhadap punca sesuatu penyakit. Keadaan itu merupakan kenyataan yang memeritkan.

Di Malaysia, 10.5 peratus wanita meninggal dunia akibat kanser ini dan 80 peratus pesakit dikesan pada tahap akhir.

Kebanyakan kes kanser pangkal rahim disebabkan sejenis virus yang dikenali sebagai Human Papilloma Virus (HPV). Ia disebarkan melalui hubungan seks. Virus itu akan menyerang sel-sel pada rahim sebelum menyebabkan perubahan pada sel-sel selular dan menjadi berbahaya.

HPV ialah satu kumpulan virus yang terdiri daripada lebih 100 virus saling berhubung kait. Ia juga dipanggil papillomaviruses kerana sesetengah daripada jenis virus itu boleh mengakibatkan ketumbuhan atau papiloma yang tidak berbahaya. Misalnya, virus yang menyebabkan kutil biasa di tangan dan kaki.

Namun, ia akan menjadi berbahaya apabila ketumbuhan berlaku di bahagian tengkorak atau genital (organ pembiakan).

Sekiranya dirawat jangkitan HPV akan hilang begitu sahaja tanpa meninggalkan kesan penyakit yang berisiko meragut nyawa.

Tetapi pendedahan lama tanpa merujuk kepada doktor akan menyebabkan perubahan dalam sel. Inilah yang meningkatkan risiko wanita terdedah kepada kanser pangkal rahim.

Menjelaskan tentang kanser pangkal rahim, Pakar Runding Obstetrisian dan Ginekologi Pusat Perubatan Pakar Pantai Klang, Selangor, Dr. S. Jeevaretanam berkata, mereka yang sering bertukar pasangan seks berisiko dijangkiti HPV.

Selain itu, mereka yang melakukan hubungan seks seawal usia 16 tahun turut berisiko.

"Wanita yang mempunyai tabiat merokok, melakukan hubungan seks dengan lelaki yang sering bertukar pasangan, penggunaan kontraseptif oral dalam jangka masa yang lama dan obesiti antara berisiko dijangkiti HPV. Bagaimanapun, terdapat vaksin untuk mencegah jangkitan virus tersebut yang sekali gus mencegah serangan kanser pangkal rahim.

Ia juga dapat mencegah lebih daripada 70 peratus jangkitan virus dan kanser itu," tambahnya.

Dalam pada itu, timbul juga isu sama ada pemberian vaksin HPV secara percuma untuk pelajar berumur 13 tahun menggalakkan seks usia muda.

Kementerian Kesihatan dan badan bukan kerajaan berusaha memberi kesedaran kepada rakyat tentang kanser ini.

Vaksin HPV sebenarnya mampu bertahan sekurang-kurangnya 20 tahun sebagai pencegahan awal.

Selain mengambil vaksin yang sesuai untuk mencegah jangkitan virus HPV, pemeriksaan Pap Smear juga digalakkan supaya langkah pencegahan diambil lebih awal. Dr. S. Jeevaretanam menjelaskan, pemeriksaan Pap Smear adalah kaedah mudah melihat sebarang perubahan pada sel-sel yang dalam pangkal rahim.

"Semua wanita digalakkan melakukan ujian Pap Smear diikuti pemeriksaan pelvik. Ujian tersebut perlu dibuat dalam tempoh masa tiga tahun setelah mempunyai hubungan seksual ataupun sudah pun berusia 21 tahun.

Ujian seperti itu merupakan perlindungan terbaik bagi menghalang wujudnya virus yang mengakibatkan kanser untuk jangka masa panjang," tambahnya.

Apa Itu Sedut Lemak?

Liposuction atau bahasa pasarnya sedut lemak adalah proses menghapuskan lemak dari lapisan bawah kulit. Untuk memahami apa itu liposuction, kita mesti memahami kulit, lemak badan dan struktur-struktur lemak.

Kulit bukan sahaja menjadi penutup badan malah ia adalah organ terbesar pada tubuh badan. Fungsi kulit di antaranya menghalang kita menjadi dehidrasi, menghalang organisme memasuki badan dan pelindung kepada cahaya ultraviolet matahari. Kulit terdiri daripada tiga lapisan iaitu epidermis, dermis dan hypodermis. Epidermis dan dermis merupakan lapisan di mana kelenjar sebum, melanocyte, saraf, rambut tumbuh dan deria sentuh berada.

Lapisan yang terlibat dalam liposuction adalah hypodermis iaitu tempat lapisan lemak subkutan berada. Walaupun terdapat bahagian badan yang lain tempat menyimpan lemak seperti dalam rongga perut dan di sekitar organ dalaman, tetapi di hypodermislah di mana 50 peratus daripada jumlah ke semua lemak badan tersimpan. Fungsi lemak di hypodermis adalah sebagai penebat , insulasi dan penyimpan tenaga.

Fungsi sel lemak adalah untuk menyimpan bahan kimia lipid yang menyediakan tenaga untuk tubuh. Tenaga ini disimpan sebagai lemak dalam sel lemak. Sebenarnya lemak secara terus-menerus dimasukkan ke dalam dan dibawa keluar daripada setiap sel lemak. Apabila pengunaan tenaga lebih sedikit daripada penyimpanan tenaga, maka ketidakseimbangan boleh berlaku. Secara umumnya jika anda makan terlalu banyak tetapi terlalu sedikit menggunakan tenaga, lemak terkumpul. Kegemukan juga boleh terjadi apabila proses mengeluarkan lemak dari sel lemak terganggu seperti ketidakseimbangan hormon dalam badan.

Ada tiga lapisan lemak pada tubuh iaitu dua lapisan lemak pada kulit dan satu lapisan lemak di dalam tubuh badan yang dikenali lemak viscera. Lapisan lemak pertama adalah lapisan yang membentuk selulit jika berlebihan. Lapisan lemak kedua dipisahkan oleh sejenis lapisan yang dikenali sebagai fascia dari lapisan lemak pertama.

Dalam proses liposuction, lemak yang disedut keluar adalah lemak lapisan pertama dan lapisan kedua. Oleh itu, masalah selulit juga boleh dirawat dengan kaedah liposuction.
 
Secara dasarnya, lemak disimpan di tubuh dalam dua bentuk utama. Pertama adalah bentuk gynoid. Ia merujuk kepada pengumpulan lemak di bahagian bawah badan, pinggul, paha dan punggung dan memberi bentuk pir. Bentuk kedua adalah android di mana lemak lebih tertumpu berkumpul di bahagian atas badan dan memberi bentuk epal. Namun begitu ia bukanlah satu kemestian sebaliknya hanyalah sebagai panduan sahaja.

Orang yang mempunyai badan berbentuk epal selalunya mempunyai masalah lapisan lemak visceral (lapisan ketiga) yang tebal. Mereka biasanya berperut buncit. Penjagaan diet dan senaman sangat penting untuk mengurangkan lapisan lemak viscera. Namun begitu masalah hormon atau ketidakseimbangan hormon boleh menyebabkan peningkatan lapisan lemak visceral (lemak dalam perut).

Peratusan lemak di dalam tubuh berubah-ubah dan dipengaruhi oleh hormon seperti insulin , estrogen dan testosteron. Apa yang anda perlu tahu apabila mencapai akil baligh, jumlah sel lemak dalam badan akan tetap dan tidak bertambah kecuali jika anda menjadi tersangat gemuk. Selepas akil baligh, sel lemak hanya akan bertambah jika berat badan anda menjadi 200 peratus daripada berat badan ideal. Oleh itu peningkatan dan penurunan berat badan anda sekarang adalah kerana sel lemak itu mengempis atau mengembang. Oleh itu, satu cara untuk membuang sel lemak secara kekal adalah dengan melakukan liposuction.

Sedut lemak adalah prosedur membuang sel lemak. Sel lemak akan hilang buat selama-lamanya selepas disedut. Namun begitu, jika anda tidak menjaga pemakanan atau melakukan senaman, sel-sel lemak yang tertinggal boleh mengembang dan menyebabkan berat badan anda bertambah.

Ingin diperjelaskan bahawa, sedut lemak bukanlah jalan termudah untuk menghilangkan berat badan atau sebagai jalan untuk membuang lemak dengan cepat. Jalan yang terbaik dan paling selamat adalah dengan menjaga diet dan senaman di samping memperbetulkan ketidakseimbangan hormon. Menjaga makan dan senaman boleh memperbetulkan fungsi badan dan menghilangkan berat badan.

Namun begitu, jika anda telah menjaga pemakanan yang sihat dan betul, telah memperbetulkan hormon dan bersenam tetapi masih juga terdapat lapisan lemak di bahagian perut, saddlebags, dada,lengan atau paha maka liposuction boleh membantu.

Kini terdapat pelbagai kaedah liposuction yang selamat seperti laser liposuction, power assisted liposuction, vaser liposuction, body jet liposuction dan sebagainya. Setiap satu prosedur mempunyai kelebihan masing-masing. Namun begitu, yang paling penting adalah kemahiran dan pengalaman doktor yang melakukannya.

Bilakah Waktu Terbaik Berjimak Untuk Dapat Anak???

SOALAN:
SAYA sudah setahun berkahwin. Umur saya 30 tahun dan isteri 28 tahun. Kami sihat dan cuba mendapatkan anak sejak Disember 2005 tetapi hingga kini masih gagal. Kami kerap melakukan hubungan seks pada waktu malam dan tiga hari berturut-turut selepas isteri kedatangan haid 10 hari.

Ada kalanya selepas melakukan hubungan seks, isteri saya terus ke tandas. Kini kami mengambil suhu ovulasi iaitu mencatat suhu terendah, barulah melakukan hubungan.

Saya ingin tahu, adakah melakukan hubungan seks setiap hari boleh mengurangkan sperma? Bilakah waktu terbaik melakukannya, iaitu awal pagi atau lewat malam? Adakah kami harus menanti untuk hamil secara semula jadi atau mula mendapatkan rawatan doktor?

Tan Menanti Anak,
Kuala Lumpur
JAWAPAN:
KAJIAN perubatan mendapati hubungan seks yang dihadkan atau ditumpukan kepada waktu ‘subur’ saja tidaklah berkesan. Malah melakukan hubungan seks dengan kerap tanpa mengira waktu ‘subur’ atau sebaliknya (berselang sehari atau berselang dua hari) adalah lebih berkesan dalam mendapat kehamilan.

Mungkin tertumpu kepada waktu subur lebih mendatangkan tekanan sehingga mengganggu kesuburan, mungkin juga waktu subur terbabit sebenarnya bukanlah waktu subur.

Mengeluarkan air mani setiap hari mungkin boleh mengurangkan jumlah bilangan sperma yang ada pada setiap ejakulasi. Sperma dihasilkan setiap hari oleh testis dan disimpan sementara waktu di dalam epididimis.

Mengeluarkan air mani berselang hari bermakna anda mengeluarkan stok sperma untuk sebanyak bilangan hari terbabit. Mengeluarkan air mani setiap hari bermakna anda mengeluarkan stok sperma yang baru dihasilkan pada hari itu (stok hari sebelumnya mungkin sudah banyak habis dikeluarkan).

Sperma boleh bertahan sehingga 72 jam di dalam badan wanita (ada sperma yang hayatnya hanya beberapa minit saja). Melakukan hubungan seks setiap berselang sehari atau 2 hari memastikan sperma sentiasa ada di dalam saluran falopian wanita. Jika tepat masanya berlaku ovulasi dan telur memasuki saluran falopian, maka ia berpeluang disenyawakan oleh sperma yang sudah sedia menunggu.

Waktu hubungan seks tiada kaitan dengan peluang kehamilan. Ikutlah keselesaan anda berdua. Secara teori, mungkin waktu malam lebih elok memandangkan isteri terus berbaring selepas itu, maka tidak banyak air mani akan keluar dari farajnya.

Menggunakan suhu badan isteri juga tidak begitu tepat. Jika kitaran isteri sangat tepat, anda boleh menjangkakan bila berlakunya ovulasi (pengeluaran telur) iaitu 14 hari sebelum tarikh haidnya yang akan datang. Jika tidak, gambaran ini boleh dibuat berdasarkan corak kitaran haid yang lalu.

Pada waktu suhu badannya menurun, ovulasi baru saja berlaku atau ia sudah berlaku dalam masa 48 jam yang lalu, anda mungkin sudah terlepas peluang itu. Ini boleh dibantu dengan ujian air kencing (mengesan kehadiran LH) setiap empat jam, ia boleh memberi tekanan kepada isteri, harganya juga mahal.

Tempoh mencuba bergantung kepada kehendak masing-masing. Sebagai panduan, bagi pasangan yang tidak mempunyai masalah kesihatan berkaitan kesuburan, tempoh setahun digunakan sebelum mendapatkan rawatan perubatan.

Mendapatkan rawatan lebih awal tidak salah, cuma besar kemungkinan isteri anda akan hamil dengan sendirinya dalam masa setahun terbabit, seperti kira-kira 90 peratus pasangan yang lain. Hanya 10 peratus pasangan saja yang masih gagal hamil setelah setahun mencuba

Apa Yang Hebatnya Tentang Manjakani

Manjakani, dianggap sebagai buah `ajaib', dihasilkan melalui proses metamorfosis apabila sejenis serangga penyengat yang hinggap dan menetaskan telurnya di atas daun pokok oak. Telur yang menetas menghasilkan enzim-enzim yang merangsang bekalan makanan pada sel-sel daun sehingga terbentuknya satu bebola keras yang dipanggil Manjakani. 

Manjakani telah digunakan secara meluas dalam perubatan tradisional sejak berkurun lamanya oleh orang-orang Arab , Iran , India , Cina dan Melayu. Malah ia dipercayai telah mula digunakan sejak 2725 Sebelum Masehi oleh orang-orang Mesir Purba. Kajian menunjukkan bahawa Manjakani kaya dengan tannin, asid tanik, anti-oksida, vitamin (terutama vitamin A dan C), kalsium, serat, protein, zat besi dan karbohidrat. Manjakani juga mengandungi unsur-unsur seperti astrigen, anti-mikrobial, anti-inflamasi, anti-oksida dan anti-radang. 

Manjakani sering digunakan untuk tujuan-tujuan berikut dalam perubatan:
  • Awet muda: Anti-oksida dalam Manjakani boleh melambatkan proses penuaan sel;
  • Pencegahan kencing manis: Asid Galik boleh mencegah kencing manis dan lelah;
  • Pencegahan barah payudara dan rahim: Anti-oksida dalam Manjakani boleh mencegah barah buah dada dan barah rahim;
  • Pencegahan bau yang tidak diingini: Manjakani yang bersifat astrigen boleh membasmi kuman yang mengakibatkan bau yang tidak selesa pada faraj;
  • Merawat otot-otot dalam faraj: Tannin yang terdapat dalam Manjakani mempunyai sifat menegangkan semula otot-otot dalam faraj dan menyebabkan faraj menjadi sempit semula;
  • Mengawal lendir dan lelehan faraj: Astrigen juga mampu menyerap lebihan darah haid dan nifas;
  • Mengecutkan semula tisu-tisu: Astrigen membantu mengecutkan semula tisu-tisu di dalam faraj terutama selepas bersalin;
  • Menegang dan mencantikkan kulit: Astrigen boleh mencantikkan kulit dan mencegah masalah kulit muka seperti jerawat;
  • Mata yang sihat: Astrigen terbukti dapat memberikan penglihatan yang jelas kerana ia dapat mengecutkan tisu-tisu mata;
  • Merawat payudara: Oleh kerana Manjakani dapat menegangkan kembali otot-otot, maka amalan mengambil minuman Manjakani dapat memperbaiki payudara yang hilang sifat keanjalannya;
  • Gigi dan tulang: Kalsium dalam Manjakani dapat membantu menguatkan gigi dan tulang;
  • Mulut: Astrigen dalam Manjakani dapat mengekalkan kebersihan mulut;
  • Kulit kering dan berminyak: Astrigen dapat mengekal dan mengawal keseimbangan lembapan kulit;
  • Merawat ulser: Amalan meminum Manjakani juga dapat membantu merawat penyakit ulser;
  • Melawaskan pembuangan air kerana Manjakani mempunyai serat makanan yang tinggi.
  • Vitamin, zat galian serta karbohidrat dan protein boleh membantu memberi kesihatan yang baik.

Tiada Rangsangan Dari Suami

SOALAN:
SAYA mendirikan rumah tangga pada Jun tahun lalu. Masalahnya hingga kini saya tidak mempunyai sebarang rasa ketika melakukan hubungan seksual dengan suami.

Untuk pengetahuan puan, selaput dara saya pecah hanya selepas kira-kira sebulan selepas kami berkahwin. Adakah ia normal?

Saya juga tidak pernah terangsang bila bersama suami walaupun saya mempunyai keinginan untuk melakukan hubungan intim dengannya.

Ada masa ketika bersama, saya berasa sakit dan biasanya tidak berasa apa-apa. Adakah ini normal?

Hingga kini saya belum hamil. Adakah saya berpotensi untuk hamil?

Wanita Rungsing,
Terengganu
JAWAPAN:
Selaput dara mempunyai beberapa bentuk, lazimnya seperti gegelang nipis yang berlubang di tengahnya bagi membolehkan haid keluar. Lazimnya selaput dara koyak apabila berlaku tusukan/ kemasukan zakar ke dalam faraj. Koyakan boleh berlaku pada satu atau beberapa tempat.

Hubungan seks yang diingini kebiasaannya menyebabkan koyakan pada kawasan kanan atau kiri selaput, manakala seks paksaan (rogol) lazimnya menyebabkan koyakan pada kawasan bawah (pukul 6) selaput. Carikan-carikan selaput dara yang terkoyak ini pula akan kekal dan hilang atau tingal sedikit sahaja selepas bersalin normal.

Kurang pasti sama ada kemasukan/ penetrasi zakar hanya berlaku sebulan selepas anda berkahwin ataupun ia sebenarnya berlaku lebih awal cuma anda tidak menyedari selaput dara sudah koyak.

Koyakan selaput dara tidak semestinya menyebabkan pendarahan. Berkemungkinan, hubungan seks yang berlaku sebulan selepas berkahwin menyebabkan koyakan tambahan.

Mempunyai keinginan seks adalah petanda baik, ini sendirinya satu bentuk rangsangan yang anda tidak sedari.

Rangsangan seksual menyebabkan penghasilan cecair pelincir oleh kelenjar Bartholin yang terdapat berhampiran bukaan faraj.

Wanita lazimnya sukar atau lambat mengalami rangsangan seksual berbanding lelaki. Juga, kepuasan seks wanita berbeza-beza, ada yang memerlukan orgasm manakala yang lain merasa cukup puas dengan hubungan intim sahaja.

Suami memainkan peranan penting agar sabar melayani isteri agar isteri dapat mengalami rangsangan seksual dahulu sebelum kemasukan zakar. Jika tidak, kekeringan faraj boleh menyebabkan rasa sakit dan ini selanjutnya akan menyukarkan isteri untuk terangsang.

Anda sepatutnya berbincang secara terbuka dengan suami mengenai perkara ini agar beliau lebih memahami.

Perasaan kebimbangan terhadap perkara negatif berkait hubungan seks yang anda pernah dengari juga perlu diketepikan. Kelak, anda akan mula mengenali keseronokan hubungan intim suami isteri.

Kehamilan boleh berlaku dengan hubungan seks sama ada secara sukarela ataupun dipaksa. Walaupun wanita tidak merasai keseronokan hubungan seks, ia masih berpotensi untuk hamil. Namun, kemesraan dan kepuasan hubungan seks sewajarnya dinikmati kedua-dua belah pihak.

Ada Benjolan Pada Vagina

SOALAN:
SAYA berusia 37 tahun dan belum berkahwin. Beberapa bulan lalu saya dapati ada benjolan kecil di dinding faraj saya.

B
enjolan terbabit seperti bengkak yang berbentuk bulat. Ia akan semakin membesar terutama seminggu sebelum datang haid dan akan tersembul keluar daripada pintu faraj.

Saya juga dapati lelehan saya berbau busuk ketika itu. Keadaan ini membuatkan saya rasa tidak selesa dan bimbang. Saya malu untuk bertemu

pakar sakit puan dan kini, benjolan itu menjadi semakin besar serta berbentuk leper sedikit berbanding di awal kemunculannya kira-kira empat bulan lalu.

Senah,
Keramat, Kuala Lumpur
JAWAPAN:
BERDASARKAN lokasi benjolan terbabit, mungkin anda mengalami bengkak kelenjar Bartholin (Bartholin cyst) yang dapat dipastikan melalui pemeriksaan doktor.

Jika benar, benjolan ini lazimnya akan semakin membesar dengan kekerapan anda mengalami rangsangan seksual. Bartholin cyst terbentuk akibat penyumbatan laluan keluar salurannya.

Rangsangan seksual yang berterusan akan menambahkan penghasilan cecair pelincir namun akibat salurannya tersumbat, cecair ini tidak dapat keluar. Sekiranya ia mengalami jangkitan kuman, cecair di dalamnya bertukar menjadi nanah yang boleh menyebabkan kesakitan, demam atau pecah dan mengeluarkan kandungan nanahnya.

Berjumpalah doktor untuk pemeriksaan. Bartholin cyst memerlukan pembedahan kecil supaya laluan baru terbentuk bagi menggantikan saluran yang tersumbat itu. Jika ia bertukar kepada abses Bartholin, pembedahan ini perlu dilakukan segera. Prosedur pembedahan ini dinamakan “marsupialization”.

Isteri Lambat Terangsang

SOALAN:
ISTERI saya berusia 25 tahun. Kami berkahwin sejak dua tahun lalu dan dikurniakan seorang anak. Tetapi selepas bersalin, isteri saya kurang mengeluarkan cecair pelincir ketika bersama.

Ini menyebabkan rangsangan memakan masa lama dan biasanya terpaksa menggunakan gel. Sebelum berkahwin, dengan sedikit sentuhan sahaja cecair sudah banyak keluar.

Bagaimanakah cara mengatasinya dan adakah ubat-ubatan yang boleh diambil?


Heman,
Johor Bahru, Johor

JAWAPAN:
RANGSANGAN seksual bagi wanita adalah suatu yang kompleks. Ia tidak berlaku secara stereotaip setiap masa. Ada kalanya ia mengambil masa sekejap sahaja melalui perbualan mesra manakala pada masa lain, ia sukar dikecapi meskipun foreplay sudah berlangsung dengan lama.

Kesediaan wanita untuk hubungan seksual dapat dikesan melalui cecair pelincir yang keluar sewaktu wanita mengalami rangsangan seksual. Cecair ini dihasilkan sepasang kelenjar (kelenjar Bartholin) yang ada pada kanan dan kiri kawasan bibir kemaluan berhampiran bukaan faraj. Tanpa rangsangan seksual, wanita lazimnya berasa kering menyebabkan rasa tidak selesa, sakit, pedih dan tidak mengalami kepuasan seks. Mengatasi masalah ini lebih memerlukan teknik psikologi, kesabaran atau mungkin kelainan dalam teknik dapat menimbulkan minat isteri anda semula.

Amat penting agar nikmat ini turut dirasai isteri. Anda lebih memahami keadaan isteri anda. Kepenatan, kebimbangan akan kemungkinan hamil lagi, merajuk, apa sahaja yang mungkin menyebabkan isteri secara tidak langsung kurang berminat sehingga mengadakan hubungan seks hanya atas kehendak sebelah pihak sahaja.

Berbincanglah bersama untuk mencari punca dan penyelesaiannya. Ubat-ubatan tidak membantu isteri mengeluarkan cecair pelincir ini dengan sendirinya.

Perbincangan bersama doktor anda juga mungkin dapat mengesan punca. Selain pengambilan ubat-ubatan tertentu yang menyebabkan kurang nafsu, dia mungkin boleh bertukar kepada ubat-ubatan lain atau terus menghentikannya.


Bahaya Seks Melalui Dubur

SOALAN:
ADAKAH sebarang jangkitan jika pasangan sudah berkahwin melakukan hubungan kelamin melalui dubur?

Ingin Tahu,
Alor Setar, Kedah
JAWAPAN:
DUBUR mengandungi banyak kuman (daripada najis) yang berpotensi memasuki aliran darah dan menyebabkan jangkitan teruk. Pada bukaan dubur, ada struktur seperti injap (sfinkter) yang mengawal pembukaan dan penutupannya sewaktu membuang air besar.

Sfinkter ini tidak seperti faraj, ia tidak bersedia mengembang dan mudah koyak serta kekal rosak. Koyakan (fisur) ini boleh mengundang jangkitan kuman daripada lubang usus ke dalam aliran darah seseorang.

Pasangan lelakinya juga berpotensi dijangkiti kuman ke kemaluannya atau ke dalam pundi kencingnya. Ini bukanlah amalan yang sihat. Ia juga haram dalam Islam.

Isteri Tidak Puas Bersama Suami

SOALAN:
SAYA seorang ibu berusia 28 tahun mempunyai dua anak berusia empat tahun dan setahun. Saya mempunyai masalah kekeringan faraj apabila melakukan hubungan intim dengan suami walaupun keinginan untuk bersama meluap-luap.

Saya juga sering mengalami masalah keputihan agak teruk yang memerlukan saya mengambil antibiotik. Sejak berkahwin dengan suami lima tahun lalu, saya hampir tidak pernah mencapai kepuasan.

Saya pernah menyuarakan perkara ini kepada suami dan dia berusaha mempelbagaikan cara namun masih tidak mendatangkan hasil. Sehinggakan ada ketikanya saya perlu beronani untuk mendapatkan kepuasan.

Persoalannya:

1. Adakah keputihan boleh menyebabkan kekeringan kepada faraj saya ?

2. Adakah antibiotik yang diambil (contohnya setiap lima bulan) untuk mengurangkan keputihan itu boleh memberi kesan kepada organ dalam badan saya ?

3. Walaupun rangsangan yang diberikan suami agak lama, mengapa saya masih mengalami masalah kekeringan dan sukar mencapai kepuasan meskipun sudah menggunakan pelbagai teknik?

4. Adakah cara lain untuk mengatasi masalah kekeringan ini selain menggunakan pelincir yang ada di pasaran?

5. Adakah onani juga boleh menyebabkan masalah ini?

Nur,
Kuala Lumpur
JAWAPAN:
KEKERINGAN boleh menyebabkan keputihan lazimnya akibat perubahan pH persekitaran dalam faraj sehingga kuman lain berupaya menakluki kawasan faraj dan terus membiak.

Bagaimanapun, dalam keadaan anda, mungkin kekeringan yang dimaksudkan ialah kekeringan akibat ketiadaan rangsangan seksual. Dalam keadaan ini, kekeringan yang dimaksudkan biasanya tidak menyebabkan anda lebih berisiko mengalami jangkitan faraj. Apapun, jangkitan faraj itu perlu dirawat.

Lazimnya, keputihan disebabkan jangkitan kulat (candidiasis). Ia memerlukan rawatan antikulat, kebiasaannya diberikan melalui pil suppositori yang dimasukkan ke dalam faraj.

Seeloknya anda menjalani pemeriksaan dalaman di mana sedikit sampel keputihan itu akan dihantar untuk ujian makmal bagi mengetahui jenis kuman (kulat, bakteria dan seumpamanya) serta ubat bersesuaian. Ubat yang diambil pula perlu mengikut sukatan dinasihatkan. Jangkitan berulang juga memerlukan pemeriksaan lanjut misalnya ujian kencing manis.

Anda berdua mungkin memerlukan bantuan doktor, sama ada pakar perubatan dalaman ataupun pakar psikiatri. Teknik yang anda lakukan mungkin tidak sama dengan teknik disarankan doktor.

Lazimnya ia lebih berkait dengan kesediaan anda, faktor tekanan juga memainkan peranan penting. Semakin anda berasa tertekan untuk mengalami rangsangan, semakin sukar rangsangan itu diperoleh.

Masalah kekeringan lebih berkait dengan ketiadaan cecair pelincir akibat ketiadaan rangsangan seksual dialami. Pelincir yang ada di pasaran hanya menggantikan pelincir semula jadi, ia tidak merawat masalah anda.

Onani juga memainkan peranan dalam masalah ini kerana amalan onani boleh menyukarkan orgasma faraj.

Suami Tak Perlu Pakai Kondom Untuk Elak Kehamilan Isteri Menopous

SOALAN:
SAYA berusia 50 tahun dan haid sudah berhenti dua tahun lalu. Dalam tempoh dua tahun ini, saya masih melakukan hubungan seks dengan suami.

Sebelum ini, suami saya menggunakan kondom tetapi baru-baru ini, dia enggan menggunakan kondom lagi.

Katanya, ia tidak akan menyebabkan saya hamil jika dia tidak memakai kondom kerana haid saya sudah berhenti. Adakah ini benar?

Ping,
Ipoh, Perak

JAWAPAN:
PADA usia puan tidak lagi didatangi haid selama tempoh itu sudah pun dikategorikan sebagai menopaus (putus haid). Ini bermakna kedua-dua kilang telur (ovari) puan sudah berhenti berfungsi mengeluarkan telur, puan juga sudah tidak subur.

Untuk kepastian, puan boleh menjalani ujian darah hormon perangsang folikel telur (follicular stimulating hormon atau FSH), jika melebihi 40 IU/ml puan sudah dikatakan mengalami menopaus. Tidak perlu lagi menggunakan sebarang kaedah mencegah kehamilan termasuk kondom.

Puan juga dinasihatkan menjalani pemeriksaan kesihatan malah banyak hospital kini menawarkan pakej saringan kesihatan termasuk:

- Pemeriksaan tekanan darah

- Pemeriksaan fizikal termasuk jantung, payu dara dan bahagian peranakan

- Ujian air kencing dan ujian darah (seperti paras gula dan kolesterol)

- Ujian pap smear

- Pemeriksaan ultrabunyi pelvis

- Ujian mamogram

- Sinaran-x dada

Selain itu, berbincanglah dengan doktor mengenai amalan penjagaan pemakanan sihat, senaman (termasuk senaman penjagaan tulang atau osteoporosis dan senaman kegel otot dalaman faraj) serta pengawalan perubahan akibat menopaus.

Suami Terkejut Senjata Sulitnya Dipenuhi Darah Ketika Bersama

SOALAN:SAYA berusia 44 tahun dan mempunyai tiga anak. Saya mengalami masalah haid tidak menentu sejak dua tahun lalu. Ia keluar sedikit, kemudian banyak dan kembali sedikit pada hari ke-13 atau 14.


Selepas bersih selama dua minggu, haid saya datang semula. Untuk pengetahuan doktor, saya tidak mengambil sebarang ubat dan selepas ujian pap smear, saya disahkan normal. 

Saya pernah melakukan D&C tiga kali serta prosedur DD&C. Doktor menyatakan peranakan saya dalam keadaan baik cuma ada polip di dinding rahim tetapi ia sudah dibuang.

Selain itu, saya alami senak dalam perut dan keluar darah apabila bersama suami. Apabila mahu bersama, saya sering fobia kerana teringatkan rasa sakit itu. Apakah yang harus saya lakukan?

Lina,
Kuantan, Pahang

 

JAWAPAN:
MASALAH gangguan haid mungkin berpunca daripada polip dalam ruang rahim (polip endometrium) saja atau polip dan gangguan hormon. Sampel lapisan endometrium yang dihantar untuk ujian makmal (ujian hispopatologi) dapat membantu mengesahkan keadaan ini.

Lazimnya prosedur diagnostic dilation & curettage (DD&C) dilakukan sekitar seminggu sebelum jangkaan didatangi haid. Dalam keadaan puan yang tidak mengambil sebarang ubat, lapisan endometrium sepatutnya sudah menunjukkan perubahan kepada ciri fasa luteal (fasa rembesan) dan bukannya masih berada dalam fasa pembiakan (proliferatif) lagi.

Wanita yang menghadapi masalah gangguan kesuburan atau pengeluaran telur mungkin masih menunjukkan fasa pembiakan, keadaan ini juga boleh berlaku pada sekitar usia puan akibat pengeluaran telur yang tidak teratur.

Ini bukanlah masalah serius, ia boleh dirawat dengan pemberian pil berhormon menyamai hormon progesterone yang dikeluarkan ovari.

Selain itu, keputusan ujian histopatologi juga boleh menunjukkan kehadiran polip seperti yang puan alami. Tidak seperti polip usus, polip endometrium rahim tidak meningkatkan risiko kanser rahim. Namun, ia boleh berulang dan puan mungkin akan menghadapi masalah yang sama kelak.

Setelah prosedur DD&C, lazimnya polip sudah dibuang dan tidak memerlukan rawatan lanjut, melainkan jika polip itu tidak dibuang sepenuhnya memandangkan DD&C adalah satu prosedur yang tidak dapat disaksikan dengan penglihatan.

Jika pendarahan berpanjangan ini berulang, anda dinasihati menjalani prosedur histeroskopi dahulu bagi melihat kawasan dalaman ruang rahim dan mengenalpasti puncanya.

Histeroskopi suatu teknik visual menggunakan teropong kacil panjang yang dimasukkan melalui faraj dan pintu rahim terus ke dalam ruang rahim. Pada masa sama, jika polip kelihatan, ia dapat dibuang terus menggunakan penglihatan ini sebelum disusuli dengan “curettage”.

Anda juga dinasihatkan menjalani ujian pap smear secara berkala. Jika pendarahan selepas hubungan seks masih berulang walaupun keputusan pap smear normal, pemeriksaan lanjut mungkin lebih sesuai (pemeriksaan kolposkopi), seeloknya dilakukan oleh pakar sakit puan yang khusus dalam bidang kanser (gine-onkologi).

Untuk makluman, dilation & curettage (D&C) dan DD&C secara asasnya prosedur yang sama, cuma tujuannya berbeza. D&C dilakukan dalam kes keguguran di mana masih ada lagi tisu janin yang tertinggal dalam rahim, tisu ini tidak semestinya dihantar untuk pengesahan ujian makmal.

Namun, DD&C lazimnya dilakukan dalam kes gangguan haid, proses ‘mencuci’yang sama dilakukan, tetapi tisu yang diambil ini dihantar untuk pemeriksaan histopatologi makmal.

Ini bermakna anda sudah pun menjalani sekurang-kurangnya empat prosedur ‘curettage’ rahim. Seperti mana-mana prosedur, seharusnya anda sudah berbincang mengenai risiko prosedur berulang kali ini.

Peritnya Bila Uri Melekat Pada Dinding Rahim

SOALAN:
SAYA berusia 29 tahun dan waktu melahirkan anak sulung, didapati uri saya melekat pada dinding rahim. Saya mengalami pengalaman perit ketika doktor cuba mengeluarkan uri terbabit dan Alhamdulillah, saya serta anak selamat.

Kini saya hamil empat bulan anak kedua dan saya bimbang kejadian sama berulang.
Apakah risiko uri melekat pada ibu dan anak? Apakah punca keadaan berkenaan? Adakah sebarang langkah boleh diikuti bagi mencegah uri melekat? Mungkinkah kandungan anak kedua itu akan mengalami masalah uri melekat?

INGIN TAHU,
Shah Alam, Selangor


JAWAPAN:
SETELAH kelahiran bayi, uri masih lagi melekat pada sebahagian permukaan dinding rahim dan bersambung dengan aliran darah ibu. Uri ini perlu terpisah keseluruhannya daripada permukaan rahim ini dan dikeluarkan untuk mempercepatkan pengecutan dinding rahim.

Ia dilakukan secara memberi suntikan ubat sintocinon dan ergometrine atau salah satu antaranya. Kemudian, ia menarik tali pusat perlahanlahan sehingga uri keluar lengkap bersama selaputnya.
Uri melekat (retained placenta) dikatakan berlaku apabila uri masih tidak keluar setelah langkah proaktif di atas diambil.

Dalam keadaan ini, tindakan lebih agresif dilakukan untuk mengeluarkannya bagi me ngelakkan tumpah darah yang berpanjangan dan berlebihan lagi.

Prosedur menyeluk keluar uri ini lazimnya dilakukan secara memisahkan uri daripada dinding rahim menggunakan teknik manual atau digital. Pada masa sama, ubat mengandungi oksitosin juga diberikan untuk membolehkan rahim mengecut secara berterusan.

Tiada risiko penyebab kejadian ini namun uri melekat dilaporkan lebih berlaku di kalangan wanita yang sudah melahirkan ramai anak serta wanita yang pernah mengalami keadaan uri melekat.
Ini adalah logik memandangkan lebih banyak kelahiran dialami seseorang, lebih tinggi risiko bagi wanita berkenaan terdedah kepada uri melekat. Selain itu, seseorang yang pernah mengalami uri melekat juga mungkin mempunyai faktor penyebab yang sama atau kekal.

Satu faktor yang boleh diambil kira adalah penyakit plasenta accreta di mana uri melekat sehingga mencapai kawasan otot dinding rahim.

Ia lebih berlaku akibat trauma ke atas dinding rahim seperti dilation & curettage, pembedahan Caesarean dan seumpamanya.

Plasenta increta adalah keadaan yang lebih kritikal di mana uri tertanam ke dalam otot dinding rahim manakala plasenta percreta pula adalah keadaan uri tertanam sehingga menembusi keseluruhan dinding rahim ke permukaan luarnya.

Bagi anak pula, risiko uri melekat boleh dikatakan tiada kerana ia berlaku setelah anak dilahirkan. Namun, bagi ibu, ia boleh menyebabkan kehilangan darah yang banyak (pendarahan melebihi 500 mililiter), rahim tidak atau lambat mengecut, penggunaan prosedur pemindahan plasenta secara manual, pemberian ubat oksitosik dan pembiusan, jangkitan rahim, pendermaan darah, pembedahan mengikat saluran darah arteri iliak interna malah jika terdesak, pembuangan rahim.

Seeloknya, elakkan prosedur berkaitan (seperti di atas) melainkan jika perlu.
Selain itu, amalkan pemakanan sihat dan pengambilan vitamin serta ubat zat besi bagi memastikan anda mempunyai tahap hemoglobin darah yang memuaskan bagi menampung sepanjang kemungkinan komplikasi berkaitan kelahiran. Anda juga dinasihatkan bersalin di hospital.

Suami Hilang Nafsu Bila Isteri Ada Masalah Keputihan

KEPUTIHAN disertai gatal-gatal lazimnya adalah tanda jangkitan kuman. Jika dibiarkan berlarutan, ia boleh menyebabkan perubahan pada permukaan faraj serta pintu rahim (kemerahan, luka, peradangan dan seumpamanya), akibatnya anda mudah sakit pada bahagian terbabit. Malah ia juga boleh menjangkiti organ berhampiran seperti pundi kencing.

Walaupun kebanyakan jangkitan faraj diakibatkan oleh kulat Candida dan rawatannya berbentuk pil (pessary) yang dimasukkan ke faraj, ia tidak semestinya berlaku untuk semua keadaan.

Seeloknya jalani pemeriksaan dalaman, sedikit sampel keputihan terbabit diambil untuk pemeriksaan makmal mengambil masa beberapa hari sahaja.

Ujian ini dinamakan Culture & Sensitivity. Bukan sahaja jenis kuman dapat dikenalpasti, malah ubat yang sesuai dan yang tidak sesuai turut disenaraikan.

Selain itu, anda juga dinasihatkan mengamalkan teknik mengelakkan jangkitan berlaku semula. Ini termasuk:


  • Mencuci atau mengelap kemaluan dari arah hadapan ke arah belakang dan bukan sebaliknya. Ia dapat mengelakkan kuman dari bukaan dubur yang terletak berhampiran memasuki faraj.

  • Lebih kerap menyalin seluar dalam, terutama jika anda mudah berpeluh atau selepas melakukan aktiviti senaman.

  • Memakai seluar dalam daripada kapas dan bukannya nilon (ini dapat mengurangkan pengewapan pada kawasan terbabit).

  • Teknik “Sitz bath” juga dapat membantu. Berendam di dalam besen yang mengandungi air (air paip sama ada sejuk ataupun suam sudah memadai) bercampur sedikit garam. Lakukan selama kira-kira 10 minit dua kali sehari.

    Jangkitan dijangka sembuh dalam seminggu, peradangan faraj mungkin mengambil masa lebih lama untuk kembali normal semula. Seeloknya anda mengelak hubungan seks ketika masih dalam rawatan.

    Ini dapat mengurangkan risiko jangkitan pada pasangan serta risiko jangkitan semula kepada anda. Ia juga dapat memberi masa untuk luka (jika ada) pada faraj sembuh.

  • Sinar-x | X-ray Boleh Jejaskan Ibu dan Juga Bayi Dalam Kandungan??

    Kajian yang dilaporkan hanyalah berdasarkan kes yang sudah berlaku saja (retrospektif) dan bukan prospektif. Hasilnya menunjukkan tiada peningkatan risiko dari segi kecacatan dan keguguran janin mahupun risiko kanser kepada ibu hamil itu.

    Risiko kanser akibat sinaran-X dilaporkan sangat kecil (kurang daripada satu dalam sejuta). Kesan risiko kepada kandungan dan ibu lebih bergantung kepada dos sinaran-X yang diterimanya.

    Boleh dikatakan sinaran-X yang digunakan dalam pemeriksaan diagnostik lazimnya tidak mendatangkan bahaya kepada kandungan memandangkan dos pancarannya sangat rendah (kurang daripada 5rad).

    Kecacatan mental bayi dikaitkan dengan penerimaan pancaran sinaran-X melebihi 10rad (ataupun 10,000 milirad). Namun, kebanyakan ujian menggunakan sinaran-X dalam dos yang jauh lebih kecil.

    Contohnya, sinaran-X dalam menganalisis pergigian hanyalah sebanyak 0.01 milirad, sinaran-X dada sebanyak 60 milirad, sinaran-X abdomen sebanyak 290 milirad dan ujian imbasan CT sebanyak 800 milirad.

    Bagaimanapun, ibu hamil dinasihatkan agar memberitahu doktor mengenai kehamilannya bagi mengelakkan ujian sinaran-X yang tidak perlu.

    Dalam keadaan yang memerlukan sinaran-X, lazimnya satu alat dipakai pada kawasan abdomen sebagai pelindung kepada kandungan.

    Walaupun teknologi ultrabunyi kini semakin canggih dan paparan gambarannya semakin jelas, kesan keseluruhan kepada bayi hanya dapat dinilai sepenuhnya selepas kelahiran sehinggalah sepanjang tempoh pembesarannya.

    Macamana Nak Tegangkan Kulit Muka Kalau Umur Sudah Melebihi 40 tahun

    SAYA bertemu ramai wanita berusia 40-an yang merungut kerana bentuk wajah asal telah berubah menjadi kurang menarik.

    "Doktor, tengoklah muka saya. Pipi saya kembang manakala dagu pula berlapis. Saya nak muka yang kecil dan bujur. Doktor tolonglah betulkan semula wajah saya,’’ rayu Puan Iza.

    Wanita itu menambah, dahulu wajahnya kecil dan dagu pun runcing tetapi sekarang segala-galanya berubah menyebabkan dia berasa rendah diri. Keadaan itu juga menyebabkan dia tidak dapat menggayakan pelbagai fesyen tudung terbaru yang ada di pasaran.

    Bentuk muka berubah apabila usia bertambah. Pipi yang sepatutnya terletak sebaris dengan hidung akan melendut ke bawah. Kelopak mata akan menjadi berat dan menurun membentuk eye bag. Kening juga menjadi berat dengan pengumpulan lemak di bawah kulit dan ini turut menyebabkan mata menjadi kecil dan sekan tertutup.

    Pendek kata segalanya mengecut. Pemakaian tudung yang ketat turut menyebabkan bentuk wajah berubah dan bertumpu ke depan. Wajah menjadi sangat bulat dan pipi pula menonjol ke depan. Apabila tersenyum mata pun seakan tertutup kerana pipi yang terlalu bulat. Oleh itu saya menasihatkan wanita agar memakai tudung yang sederhana dan tidak terlalu ketat bagi mengelak perubahan pada bentuk wajah.

    Bentuk wajah juga penting bagi menyerlahkan penampilan seseorang. Apabila usia meningkat tidak dapat dinafikan bentuk wajah berubah menjadi lebar tidak kira bagi lelaki atau perempuan. Masalah ini dapat dipulihkan semula dengan kaedah rawatan yang betul.

    Muka kita terbentuk daripada tulang tulang tengkorak yang menjadi acuan kepada pembentukannya. Tulang tulang utama yang menjadi asas pembentukan muka adalah tulang mandible iaitu rahang. Jika tulang rahang terlalu besar muka akan tampak empat segi.

    Tulang lain adalah tulang mastoid yang bersambung pada tulang mandible. Tulang mastoid dapat dirasa jika kita menyentuh belakang telinga akan terasa seperti satu benjol di situ. Di dalam tulang mastoid inilah terdapatnya sebahagian daripada organ telinga yang penting. Tulang-tulang maxilaary yang membentuk pipi adalah mustahak bagi menentukan pembentukan pipi kita. Jika ia terlalu kecil pipi akan tampak kecut. Sebahagian daripada tulang cranium, pula membentuk dahi. Pada kawasan orbit mata pula terdapat percantuman antara tulang-tulang kecil . Tulang pada hidung terdiri daripada tulang rawan yang lembut.

    Bagi melengkapkan struktur muka, terdapat juga otot-otot muka yang membantu kita memberi reaksi dan riak wajah. Seseorang yang marah, sedih, gembira dan mengantuk misalnya dapat di kesan melalui riak wajahnya. Begitu juga wajah seseorang yang meminta simpati. Garis-garis muka yang tertentu memberi raksi wajah tertentu. Reaksi sebeginilah yang digunakan oleh para pelakon bagi mempamerkan mutu lakonan yang mempersonakan. Ekspresi wajah amat penting dalam kehidupan seharian. Kerlingan mata sahaja sudah cukup untuk memberitahu maksud yang tersirat di dalam hati tanpa perlu kita bersuara. Jelaslah bahawa ekspresi wajah adalah salah satu cara komunikasi yang berkesan sesama manusia.

    Apabila seseorang itu gembira otot-otot pada pipi dan mulut akan bekerja bagi mempamerkan senyuman. Bila bersiul otot buccinators akan bekerja. Jika mengerutkan dahi pula kita menggunakan otot frontalis. Bila kita makan otot mengunyah yang bernama maseter akan mengerakkan rahang. Seseorang yang mengalami kelumpuhan otot sebagaimana yang dilihat pada pesakit strok atau angin ahmar sudah tentulah gagal melakukan semua pergerakan ini kerana otot-otot muka menjadi lumpuh.

    Di atas lapisan otot terdapat lapisan lemak yang membalut muka, selepas itu barulah di lapik pula kulit. Muka seolah-olah tergantung pada tulang tegkorak kita. Apabila kita meningkat usia ia akan semakin melendut disebabkan tarikan graviti. Pada masa ini kulit akan lebih kendur dan turun di kawasan dagu dan pipi kiri kanan dagu. Lemak-lemak pula akan mengisi ruang kosong tersebut lalu wajah mula kelihatan lebar dan dagu mula berlapis. Masalah ini terjadi disebabkan oleh kejatuhan lemak muka. Lemak pada muka yang berlebihan akan turun dan mengisi ruang pada bawah dagu dan juga pipi menyebabkan bentuk muka menjadi besar kerana berlemak.

    Bagi mereka yang berwajah bujur atau sangat kurus, masalah ini tidak ketara. Namun bagi mereka yang berisi dan wajah pula berbentuk bulat maka ia menjadi satu fenomena yang menghodohkan wajah. Kehadiran lemak yang terlalu banyak menjadikan wajah tampak bengkak dan bentuknya tidak menarik. Tambahan pula apabila usia meningkat 40-an kesan pengurangan hormon membuatkan air berkumpul dalam kulit dan kelihatan lebih bengkak.

    Namun teknologi baru boleh mengatasinya. Wajah yang bulat boleh dibentuk semula menjadi bujur dan dagu yang berlapis boleh dibuang lemaknya. Begitu juga pipi yang menonjol boleh dicantikkan semula. Kedudukan pipi juga boleh diangkat semula dengan teknik serdev. Laser lipolisis adalah kaedah yang baik bagi pembentukan wajah. Laser jenis ini akan menghancurkan lemak dan merangsang sel-sel kulit longgar menjadi ketat semula.

    Bagaimana laser lipolisis bertindak?

    Laser merupakan satu jalur cahaya dengan jarak gelombang yang tertentu. Jarak gelombang ini membolehkan pancaran laser menembusi sel-sel lemak dan menukarkannya menjadi cair. Tenaga laser yang kuat bertindak dengan sangat selektif. Ia hanya memecah lemak tanpa mengganggu sel-sel lain. Justeru ia selamat digunakan dan akan menyebabkan pengecutan dalam jalinan kolagen. Ini menjadikan kulit ketat dan tegang semula. Penggunaan laser seperti ini adalah selamat, cepat dan hasilnya dapat dilihat dalam jangkamasa yang singkat. Perubahan pada wajah menjadi lebih ketara selepas seminggu. Selepas sebulan wajah menunjukkan perubahan yang menakjubkan. Dalam tempoh tingga hingga lima bulan pula seseorang kelihatan lebih muda dan berseri-seri.

    Proses Laser

    * Wajah akan dibersihkan dengan povidone iodine dan disapu dengan krim bius. Selepas satu jam krim akan mula bertindak. Doktor akan menandakan kawasan yang akan dirawat.

    * Suntikan ubat bius di buat.

    * Laser dimasukkan ke bawah kulit dan dipancarkan, lemak akan bertukar menjadi air.

    * Selepas seminggu wajah akan menjadi lebih baik

    Perubahan akan dilihat beransur-ansur dan dalam masa dua minggu wajah kelihatan menarik dan terbentuk semula.

    Kelebihan Rawatan

    * Tidak menyakitkan

    * Tidak perlu masuk ke hospital untuk menjalani rawatan

    * Hasil yang baik

    * Tiada parut yang merosakkan kulit.

    * Boleh pergi bekerja seperti biasa sejurus menjalani rawatan

    * Satu rawatan sahaja sudah berkesan tidak perlu berkali-kali melakukannya.

    * Selepas rawatan tiada kesan bengkak yang ketara.

    Siapa Kata Menyusu Badan Tidak Cantik

    Eh, tak malukah?” tanya seorang teman. Dia bertanya begitu ketika membelek-belek album gambar saya yang sedang menyusukan bayi di kawasan tempat duduk kompleks membeli-belah. Mungkin gambar menyusu di tempat duduk kawasan orang lalu-lalang itu sedikit membuatkan dia rasa tidak selesa.

    Dengan selamba saya menjawab; “Mengapa pula perlu malu? Rasa bangga adalah.”

    Entah apa sebabnya, menyusu bayi bagi kebanyakan ibu kini menjadi antara perkara yang memalukan mereka. Lebih mengecewakan, ada yang menganggap menyusu di khalayak kelihatan selekeh, tidak cantik dan kolot.

    Menyusu terlalu lama (sehingga anak melebihi usia dua tahun) juga kata mereka menyebabkan payu dara cepat mengendur, sekali gus menjejaskan penampilan.

    Sejauh mana fahaman mereka dalam hal itu, saya percaya semua disebabkan oleh kurangnya pengetahuan dan sokongan daripada orang sekeliling.

    Apa yang pasti, menyusu sememangnya mempunyai banyak manfaat kepada ibu dan bayi sama ada dari segi kecantikan, kesihatan, mental serta emosi.

    Payu dara kendur?

    “Pandangan itu tidak benar sama sekali,” kata Kaunselor Laktasi dari Pusat Perubatan Prince Court, Chuah Pek Chin.

    Beliau yang telah lebih 30 tahun terlibat dalam bidang perbidanan berkata, menyusu tiada langsung kaitan dengan payu dara kendur dan ‘mahkota’ wanita itu tetap berubah bentuknya apabila sampai masanya.

    Perubahan bentuk payu dara, katanya, disebabkan rangkaian tisu-tisu pada bahagian itu lemah sejajar dengan peningkatan usia.

    Malah wanita yang tidak pernah menyusukan sekali pun akan mengalami pengenduran payu dara lebih awal sekiranya mereka tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat termasuk bersenam.

    Bagi Pek Chin, menyusu sebenarnya mempunyai seni tersendiri. Ibu-ibu katanya, perlu tahu cara yang betul melekap bayi ke payu dara, barulah penyusuan akan berjaya.

    Ibu-ibu yang menyusu juga sebenarnya memiliki payu dara yang lebih cantik dan penuh. Pemakaian coli yang sesuai untuk menyokong payu dara yang penuh amat membantu dalam mengekalkan bentuknya.

    Bagaimanapun katanya, selepas bercerai susu ibu-ibu akan mendapati payu dara mereka sedikit ‘jatuh’ daripada biasa.

    “Namun beberapa bulan selepas itu, hormon akan kembali stabil dan mereka perlu melakukan senaman untuk membuatkan ia kembali kepada bentuk asal,” kata Pek Chin yang pernah berkhidmat di Eropah dan Singapura.

    Tambahnya lagi, menyusu sememangnya mempunyai banyak kebaikan kepada ibu dan bayi.

    Tentu sekali faktor kecantikan fizikal antara tarikan yang sepatutnya diambil berat oleh mereka yang ingin menyusukan bayi.

    Menurutnya, daripada sesi bual bicara selepas bersalin yang beliau hadiri, ramai ibu mengaku menyusu membantu mereka kembali langsing secara semula jadi dengan pantas.

    “Lemak-lemak berlebihan yang tersimpan dalam badan akan dibakar ketika menyusu. Bukankah ini antara bentuk senaman yang paling mudah dilakukan,” katanya.

    Bagaimanapun katanya, ibu-ibu perlu memastikan berat badan yang ideal sepanjang mengandung iaitu tambahan hanya sekitar 11 hingga 15 kilogram. Ini amat penting dalam usaha mendapatkan bentuk badan yang diingini selepas kelahiran kelak. Pengambilan makanan yang seimbang dapat membantu, begitu juga dengan senaman.

    “Menyusu dapat mengurangkan risiko obesiti jangka masa panjang,” katanya.

    Bagi mengekalkan kesihatan ibu sepanjang menyusukan bayi, Pek Chin menyarankan agar mereka melakukan senaman ringkas seperti berjalan, regangan ringan dan senaman lantai sejurus badan kembali selesa (empat atau lima hari selepas bersalin).

    Selepas enam hingga lapan minggu, mereka sudah boleh melakukan senaman berat seperti aerobik.

    Tiada pemakanan khas diperlukan oleh ibu dalam menjayakan sesi penyusuan mereka. Yang paling utama adalah pengambilan makanan berkhasiat dan lengkap dengan pelbagai vitamin.

    “Jika seorang dewasa memerlukan 2000 kcal setiap hari, ibu mengandung pula memerlukan tambahan antara 300 hingga 500 kcal lagi,” kata beliau.

    Menurutnya, sebanyak 700 hingga 800 kcal diperlukan untuk pengeluaran susu yang mana 500 kcal diperolehi daripada diet harian. Manakala 250 hingga 300 kcal lagi daripada penyimpanan lemak dalam badan.

    Bagi ibu yang obes atau mempunyai berat badan berlebihan pula katanya, mereka tidak memerlukan kalori tambahan.

    Pengambilan air yang mencukupi amat penting dalam penghasilan susu. Bagaimanapun kata beliau, meminum susu tidak bererti memperbanyakkan susu badan. Yang paling utama adalah pengambilan cecair bagi menggantikan air yang hilang melalui penyusuan.

    “Ibu menyusu perlu mengambil banyak sayur segar, produk tenusu rendah lemak, daging merah dan juga protein,” katanya.

    Pengambilan kafein pula katanya perlu dihadkan antara satu atau dua cawan saja sehari, itu pun selepas menyusukan bayi. Jika tidak, bayi akan meragam dan tidak selesa.

    Mengenai pengambilan suplemen pula, Pek Chin berkata sebenarnya ia tidak perlu jika kita mengambil makanan yang berkhasiat. Namun, ibu-ibu boleh meneruskan pengambilan suplemen yang dipreskrip doktor atau juga mencuba petua bergantung kepada keselesaan mereka.

    “Walaupun begitu, vitamin B6 diketahui mampu meningkatkan pengeluaran susu,” jelasnya.

    Bagi ibu yang mengamalkan vegetarian pula, mereka mungkin mengalami kekurangan vitamin B12 yang terkandung dalam protein haiwan. Oleh itu, mereka perlu mengambil suplemen tambahan mengikut panduan yang diberikan pakar.

    Panduan Ibu Hamil DI Bulan Ramadhan

    Kalau tiada aral melintang, esok, umat Islam di seluruh dunia sudah mula menjalani ibadat puasa.

    Ada di kalangan ibu-ibu hamil yang pasti berasa khuatir untuk berpuasa dalam keadaan bayi di dalam kandungan yang amat memerlukan kadar nutrisi yang diperlukan bagi memastikan perkembangan janin.

    Jika anda hamil dan ingin berpuasa, pastikan keadaan kesihatan anda amat stabil kerana ibu-ibu hamil juga sebenarnya dibolehkan untuk berpuasa, tetapi menerusi syarat-syarat tertentu.

    Apa pun pastikan kandungan dan kesihatan nutrisi yang dibekalkan ibu menerusi plasenta kepada janin.

    Salah satu daripadanya ialah memastikan makanan yang dimakan itu mengandungi nutrisi yang diperlukan termasuk protein, zat pemakanan yang diperlukan ibu dan bayi di dalam kandungan.

    Komposisi yang harus dipenuhi ibu-ibu hamil bagi zat pemakanan tersebut ialah karbohidrat 50 peratus, protein (30 peratus) dan lemak sekitar 10 hingga 20 peratus.

    Biarpun begitu, ada beberapa faktor yang harus diperhatikan oleh si ibu andainya dia hamil dan ingin meneruskan berpuasa.

    Sekiranya si ibu hamil tersebut menghidap penyakit kencing manis atau diabetes, maka ibu tersebut tidak disaran untuk berpuasa.

    Sekiranya ibu yang hamil itu menderita penyakit darah tinggi atau hipertensi kerana ibu-ibu ini memerlukan aturan memakan ubat yang berterusan secara teratur dia juga disaran untuk membuka puasanya.

    Tekanan darah tinggi juga harus dihindari selama hamil kerana ia boleh menyebabkan kematian mengejut bagi si ibu mahupun bayi dalam kandungan.

    Selanjutnya adalah faktor perdarahan. Jika ini berlaku, ibu yang hamil dinasihat tidak berpuasa kerana khuatir kesihatan janin di dalam kandungan.

    Dehidrasi atau kekurangan cairan akibat muntah selama hamil akibat mabuk atau morning sickness atau sebagainya juga diminta untuk tidak meneruskan puasa dan minum sebanyak mana air yang diperlukan.

    Jika tidak, sebaliknya akan berlaku kerana dehidrasi ini berkemungkinan akan menyebabkan pitam, pening, rasa berpinar dan seram sejuk yang boleh menyebabkan keadaan ibu hamil ini menjadi lebih teruk dan pengsan.

    Cara Menggoda Suami

    Bimbang suami memandang wanita lain yang lebih cantik jelita, para isteri sanggup berbuat apa saja untuk menarik perhatian suami kepada diri mereka. Ada yang menghabiskan wang beribu ringgit untuk rawatan kecantikan dan juga pelangsingan badan.

    Tak kurang juga yang sanggup mengamalkan ilmu-ilmu tertentu termasuklah yang bertentangan dengan agama untuk memastikan dirinya kelihatan cantik dan menggoda di mata suami.

    Hakikat sebenarnya bagi memastikan diri tampil menarik dan berahi di pandangan suami, isteri hanya perlu bermodalkan apa yang ada pada tubuh badan mereka saja. Ini cara yang perlu anda lakukan.

    Rambut Terurus
    Bermulalah daripada bahagian paling atas tubuh. Rapikan rambut walaupun anda duduk di rumah. Jangan biarkan rambut yang panjang kusut dan menggerbang sebaliknya dandanlah rambut agar menawan.

    Selain itu rawat rambut agar sihat, berkilat dan halus. Biarkan rambut yang panjang melurut ke bahu. Melihat rambut yang cantik halus dan berbau harum ada kalanya mampu mengundang nafsu suami.

    Bibir Merah Menggoda
    Bibir mungil sememangnya tarikan mata lelaki. Namun jika anda tidak memiliki bentuk bibir sebegini, ada cara untuk menjadikan bahagian ini sebagai tarikan suami. Oles gincu merah ketika anda mendampinginya, lebih berkesan jika anda mengenakan gincu di hadapannya kerana ia dilihat seksi oleh lelaki.

    Pamerkan Kulit
    Pamerkan kulit tubuh anda yang bersih dan putih pada suami. Jika anda tidak memilikinya maka belajarlah mengenakan losen. Dalam pada itu ambil kesempatan menyapu losen ini di hadapan suami. Gerakan anda membelai tangan, badan dan kaki sebenarnya cukup erotis buat suami malah lebih erotis dari menonton adegan cumbu-cumbuan dalam filem.

    Bayangan Menggiurkan
    Bangunkan suami di pagi hari dengan pandangan yang menggiurkan. Pakailah baju tidur yang jarang dari kain yang lembut halus seperti sutera. Biarkan rambut anda mengurai tapi bukannya menggerbang. Melihat tubuh anda sebegini akan membangkitkan nafsu suami.

    Tukar Gaya
    Jika selalu anda berbaju T dan berkain batik ketika di rumah, apa kata tukar gaya tersebut. Ketika di rumah bersama suami tak salah kalau anda mengenakan sesuatu yang lebih cantik dan seksi untuk tontonannya. Sekali sekala, kenakan skirt pendek atau baju tanpa lengan yang seksi untuk tatapan suami. Perubahan gaya selalunya akan menyemarakkan keinginan suami apatah lagi jika ia dikenakan di malam hari.

    Pelihara Organ Intim
    Dalam banyak-banyak bahagian tubuh wanita yang dianggap seksi oleh lelaki, organ kewanitaan adalah bahagian yang paling seksi. Oleh itu para isteri disarankan menjaganya dengan baik. Pastikan vagina bersih, tidak berbau dan terhindar dari sebarang penyakit kelamin. Jangan biar suami mengadu apa-apa perkara tentang organ intim ini.

    Monday, August 1, 2011

    Jangan Seksa Isteri ketika Hubungan Seks


    Hubungan intim dengan suami isteri biar pun halal namun ada ketikanya ia diharamkan untuk dilakukan. Situasi tersebut adalah ketika isteri haid dan kedua ketika suami mahu sodomi.


    Tapi hairannya biar sudah dilarang agama, masih ada suami yang tetap melakukannya. Salah satu penyebabnya adalah mungkin mereka tidak sedar akan sebab ia diharamkan.

    Seks Ketika Haid Dan Risiko Endometriosis
    Sekiranya hubungan intim dilakukan sewaktu isteri sedang haid, tekanan pada rahim mungkin akan berlaku dan perkara ini ada kesannya. Darah yang sepatutnya keluar melalui vagina terhalang dan malah mengalir ke rongga perut, dan mendap di sana.
    Ini akan mengakibatkan penyakit endometriosis yang mana terdapat sel berupa selaput lendir rahim yang tumbuh di luar rongga rahim. Endometriosis tidak hanya menimbulkan rasa sakit yang sangat menyiksakan tetapi juga mengganggu kesuburan dan mempunyai kesan buruk bagi kesihatan organ reproduksi seseorang wanita.

    Sodomi Masukkan Kembali Kuman
    Di bahagian dubur bersarang pelbagai bakteria yang bersifat patogan yang kemudian dikeluarkan dari tubuh bersama feses (najis). Tindakan sodomi atau melakukan hubungan intim melalui dubur akan berpotensi memasukkan kembali kuman-kuman itu ke dalam tubuh dan menimbulkan berbagai penyakit ‘pelik’ dan berbahaya seperti Hepatitis C dan HIV-AIDS.

    Paksaan
    Jangan memaksa melakukan hubungan seks jika isteri tidak menginginkannya. Seks secara paksaan bukan saja menyakiti isteri secara fizikal tapi juga secara emosional. Ia boleh menimbulkan ketakutan pada isteri setiap kali hubungan seks dilakukan. Jika anda tidak yakin, bertanyalah. Seks yang dilakukan secara terpaksa boleh membahayakan perkahwinan. Anda dan pasangan kehilangan makna sebenar hubungan intim.

    Mengkritik
    Mengucap pujian selepas selesai hubungan intim dengan pasangan memang digalakkan. Ia akan memberi kenyamanan pada pasangan. Tapi yang harus dielakkan adalah ucapan-ucapan yang tidak sedap didengar oleh isteri. Misalnya mengkritik tentang organ sulit pasangan dengan kata-kata yang mengecilkan hatinya. Tidak perlu juga membandingkannya dengan orang lain.

    Perubahan Drastik
    Melakukan variasi dalam hubungan seks memang perlu. Ia akan mengelakkan hubungan seks itu menjadi sesuatu yang rutin dan membosankan. Tapi jangan pula melakukan perubahan secara mendadak tanpa memberitahu pasangan anda. Sekiranya teringin melakukan sesuatu yang luar biasa, terangkan pada isteri. Jika tidak, isteri mungkin akan bersangka buruk iaitu berfikiran anda pernah melakukannya.

    Guna Bantuan Filem Lucah
    Ada suami yang mengajak pasangannya menonton filem lucah sebelum melakukan seks. Tujuannya filem tersebut dikatakan mampu merangsang nafsunya selain berharap isteri dapat melakukan aksi yang sama seperti yang ditonton. Tapi hakikatnya tidak semua wanita terangsang, ramai juga yang jijik untuk menontonnya kerana filem porno selalunya merendahkan wanita.

    Alat Cegah Hamil Terbaru

    NUVA Ring Alat Mencegah Kehamilan Terbaru Di Pasaran


    Makan pil, suntikan, implanon, intrauterine device (IUD) dan tampalan (patch), adalah antara kaedah yang biasa didengar dan digunakan golongan wanita dalam membantu untuk menjarak atau merancang kehamilan.

    Pil harian adalah alat pencegah kehamilan yang menjadi pilihan golongan wanita di negara ini untuk menjarakkan kehamilan, namun hasil kajian mendapati sebanyak 71 peratus daripada pengguna ini dilaporkan terlupa ataupun tertangguh mengambil pil perancang harian mereka mengakibatkan mereka berasa resah dan menyebabkan kehamilan yang tidak dirancang.

    Kini untuk golongan wanita pada abad ke-21, alat perancang kehamilan yang digunakan sekali sebulan, NuvaRing (gelang faraj etonogestrel/ethinylestradiol), boleh didapati bagi memudahkan wanita di samping tahap keselamatan dan keberkesanan yang sama ditawarkan sebagaimana pil.

    Dalam kajian klinikal, NuvaRing adalah 99 peratus berkesan terhadap pencegahan kehamilan apabila digunakan dengan betul.

    NuvaRing adalah kaedah pencegah kehamilan yang sesuai bagi wanita muda yang ingin merancang keluarga, ibu-ibu yang ingin menjarakkan kelahiran anak dan wanita yang masih kedatangan haid dan tidak mahu risiko kehamilan secara tidak sengaja.

    NuvaRing bukanlah satu produk baru. Sejak enam tahun lalu, alat ini sudahpun digunakan di negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, Australia dan Eropah.

    Menurut Pakar Perunding Obstetrik Dan Ginekologi Pusat Perubatan Atrium Heerlen, Netherlands, Dr. Frans Roumen, NuvaRing merupakan gelang lut sinar yang lembut dan mudah dilentur berdiameter ukuran 5.4 sentimeter dan ketebalan 4 milimeter.

    Katanya, gelang pencegah kehamilan ini dimasukkan ke dalam faraj pada hari yang ditetapkan setiap bulan dan dibiarkan selama tiga minggu dan pada minggu keempat, gelang dikeluarkan selama seminggu agar wanita tadi mengalami haid bulanan mereka.

    "Kebanyakan wanita boleh memasukkan sendiri NuvaRing ke dalam faraj selepas diberi penerangan oleh doktor sakit puan dan perbidanan dan mereka juga boleh mengeluarkannya kerana ia adalah satu perkara yang mudah.





    "Setelah gelang dimasukkan, otot faraj akan memegangnya dengan rapi pada tempatnya. Gelang tidak akan hilang di dalam faraj mahupun terjatuh atau terkeluar kerana bukaan serviks terlalu kecil untuk membenarkannya lalu mahupun ketika wanita itu melakukan aktiviti lasak seperti contohnya bersukan.
    "Sama seperti pil perancang, NuvaRing mengandungi dua jenis hormon seks wanita iaitu etonogestrel dan ethinylestradiol secara konsisten dari gelang ini dan diserap melalui dinding faraj ke dalam aliran darah," katanya pada majlis pelancaran alat pencegah kehamilan itu oleh MSD, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
    Tambah Roumen, wanita tidak perlu risau tentang kedudukan NuvaRing di dalam faraj mereka kerana ini tidak menjejaskan keberkesanan pencegah kehamilan.

    Dalam kajian klinikal yang melibatkan 2,322 wanita, katanya, kebanyakan golongan ini dapat menerima NuvaRing dengan baik dan tidak menyebabkan kesan sampingan, tidak memudaratkan dan ia juga memberi kesan yang neutral terhadap berat badan.

    "Mungkin ramai tertanya apakah alat ini akan 'dirasai' oleh pasangan ketika hubungan seksual, hasil kajian, kita juga dapati 85 peratus daripada pengguna menyatakan pasangan mereka tidak merasai sebarang perbezaan ketika melakukan aktiviti seksual dan sebenarnya alat ini boleh dikeluarkan kira-kira tiga jam sebelum dimasukkan kembali bagi proses perhubungan ini dilakukan," tambahnya.

    NuvaRing bagaimanapun tidak melindungi wanita daripada jangkitan HIV dan penyakit kelamin lain. Alat ini juga tidak boleh digunakan oleh wanita yang mempunyai sejarah penyakit strok dan serangan jantung, wanita yang menghidap kanser tertentu atau oleh wanita yang hamil.