Subscribe:

Ads 468x60px

PETUA

Tuesday, August 2, 2011

Bilakah Waktu Terbaik Berjimak Untuk Dapat Anak???

SOALAN:
SAYA sudah setahun berkahwin. Umur saya 30 tahun dan isteri 28 tahun. Kami sihat dan cuba mendapatkan anak sejak Disember 2005 tetapi hingga kini masih gagal. Kami kerap melakukan hubungan seks pada waktu malam dan tiga hari berturut-turut selepas isteri kedatangan haid 10 hari.

Ada kalanya selepas melakukan hubungan seks, isteri saya terus ke tandas. Kini kami mengambil suhu ovulasi iaitu mencatat suhu terendah, barulah melakukan hubungan.

Saya ingin tahu, adakah melakukan hubungan seks setiap hari boleh mengurangkan sperma? Bilakah waktu terbaik melakukannya, iaitu awal pagi atau lewat malam? Adakah kami harus menanti untuk hamil secara semula jadi atau mula mendapatkan rawatan doktor?

Tan Menanti Anak,
Kuala Lumpur
JAWAPAN:
KAJIAN perubatan mendapati hubungan seks yang dihadkan atau ditumpukan kepada waktu ‘subur’ saja tidaklah berkesan. Malah melakukan hubungan seks dengan kerap tanpa mengira waktu ‘subur’ atau sebaliknya (berselang sehari atau berselang dua hari) adalah lebih berkesan dalam mendapat kehamilan.

Mungkin tertumpu kepada waktu subur lebih mendatangkan tekanan sehingga mengganggu kesuburan, mungkin juga waktu subur terbabit sebenarnya bukanlah waktu subur.

Mengeluarkan air mani setiap hari mungkin boleh mengurangkan jumlah bilangan sperma yang ada pada setiap ejakulasi. Sperma dihasilkan setiap hari oleh testis dan disimpan sementara waktu di dalam epididimis.

Mengeluarkan air mani berselang hari bermakna anda mengeluarkan stok sperma untuk sebanyak bilangan hari terbabit. Mengeluarkan air mani setiap hari bermakna anda mengeluarkan stok sperma yang baru dihasilkan pada hari itu (stok hari sebelumnya mungkin sudah banyak habis dikeluarkan).

Sperma boleh bertahan sehingga 72 jam di dalam badan wanita (ada sperma yang hayatnya hanya beberapa minit saja). Melakukan hubungan seks setiap berselang sehari atau 2 hari memastikan sperma sentiasa ada di dalam saluran falopian wanita. Jika tepat masanya berlaku ovulasi dan telur memasuki saluran falopian, maka ia berpeluang disenyawakan oleh sperma yang sudah sedia menunggu.

Waktu hubungan seks tiada kaitan dengan peluang kehamilan. Ikutlah keselesaan anda berdua. Secara teori, mungkin waktu malam lebih elok memandangkan isteri terus berbaring selepas itu, maka tidak banyak air mani akan keluar dari farajnya.

Menggunakan suhu badan isteri juga tidak begitu tepat. Jika kitaran isteri sangat tepat, anda boleh menjangkakan bila berlakunya ovulasi (pengeluaran telur) iaitu 14 hari sebelum tarikh haidnya yang akan datang. Jika tidak, gambaran ini boleh dibuat berdasarkan corak kitaran haid yang lalu.

Pada waktu suhu badannya menurun, ovulasi baru saja berlaku atau ia sudah berlaku dalam masa 48 jam yang lalu, anda mungkin sudah terlepas peluang itu. Ini boleh dibantu dengan ujian air kencing (mengesan kehadiran LH) setiap empat jam, ia boleh memberi tekanan kepada isteri, harganya juga mahal.

Tempoh mencuba bergantung kepada kehendak masing-masing. Sebagai panduan, bagi pasangan yang tidak mempunyai masalah kesihatan berkaitan kesuburan, tempoh setahun digunakan sebelum mendapatkan rawatan perubatan.

Mendapatkan rawatan lebih awal tidak salah, cuma besar kemungkinan isteri anda akan hamil dengan sendirinya dalam masa setahun terbabit, seperti kira-kira 90 peratus pasangan yang lain. Hanya 10 peratus pasangan saja yang masih gagal hamil setelah setahun mencuba

0 comments:

Post a Comment